Sumber: Utusan Malaysia (20 Ogos 2011, m/s 8)
Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal (Bersara) menyeru semua pihak supaya tidak campur tangan dalam urusan proses pengundian undi pos yang dilaksanakan oleh ATM. Beliau berkata, Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 Seksyen 16 Sistem Pengundian Tentera sememangnya berteraskan kepada prosedur yang sedia diamalkan oleh ATM selaras dengan peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya sejak Pilihan Raya Umum Pertama lagi. "Peraturan itu juga selaras dengan prosedur yang dipraktikkan oleh negara-negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi. Sehubungan itu, rakyat perlu menyedari bahawa ATM sentiasa mengutamakan keselamatan dan kedaulatan negara dan tidak sekali-kali terlibat dalam urusan politik".
Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin (Bersara) berkata "ATM sentiasa menghormati hak dan kebebasan mengundi warganya melalui Undi Pos bertunjangkan prinsip ketelusan dan amalan demokrasi." Tan Sri Azizan menegaskan bahawa ATM kekal sebagai organisasi yang apolitical dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru, beliau merasa amat terguris dengan tindakan sebilangan kecil bekas tentera yang sanggup menabur fitnah akibat dipengaruhi oleh pihak berkepentingan. "Saya menyeru kepada pihak berkepentingan diseru agar tidak menjadikan ATM sebagai kambing hitam bagi meraih publisiti, sokongan atau memenuhi impian politk mereka untuk kepentingan peribadi. "Rakyat khususnya bekas tentera diseru agar tidak memperlekehkan ATM demi menjaga semangat juang di kalangan warganya".
Laksamana Tan Sri Mohd Anwar bin Hj Mohd Nor pula menegaskan bahawa ATM sentiasa mendokong kerajaan memerintah dan sanggup berkorban bagi melahirkan produk “keselamatan” untuk dinikmati oleh seluruh rakyat. Menurutnya, ATM sebagai organisasi yang profesional sentiasa melaksanakan proses pengundian secara adil dan tiada unsur-unsur penyelewengan.
