Selamat Datang Ke Laman Blog Askar Setia

Pembaca Tegar

Showing posts with label Mat Sabu. Show all posts
Showing posts with label Mat Sabu. Show all posts

Friday, 9 September 2011

KEKEJAMAN KOMUNIS TIDAK BOLEH DIMAAFKAN

Ekoran daripada kenyataan Mat Sabu yang mengangkat komunis sebagai hero, timbul pelbagai reaksi terutama bekas tentera, homeguard, bekas polis dan ahli keluarga mangsa yang terlibat secara langsung dalam melawan komunis. Semuanya marah, kecewa serta menegaskan bahawa kekejaman komunis tidak boleh diketepikan dan dimaafkan.


"Kalau boleh, saya akan minta orang buat jerangkap samar seperti yang saya kena dulu dan masukkan Chin Peng ke dalamnya biar berkecai tubuh badannya sehingga tiada secebis daging pun yang tinggal." 

Begitulah marahnya bekas anggota Rejimen Askar Melayu, Suparman Taib, 55, yang pernah berjuang menentang pengganas komunis sekitar tahun 1980-an dulu apabila mengetahui ada pihak yang beria-ia mahu membawa balik bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu ke negara ini".

'Paling tidak dapat dilupakan ialah peristiwa anak-anak buah saya terkorban apabila trak dinaiki mereka diserang hendap komunis. Semasa ditemui, bukan saja telinga dikerat, alat kemaluan mereka juga dipotong dan disumbatkan ke dalam mulut," katanya.Sebab itulah, kata Suparman, Chin Peng tidak boleh dibenarkan menjejak kakinya ke Malaysia dan patut dibiarkan mati di luar negara.



Onjining menunjukkan kaki kananya yang kudung 
terpijak jerangkap samar Pengganas  Komunis



Selain itu, kenyataan oleh 3 bekas komando iaitu bekas Pegawai Waren  Hussin Mahbeb dan Damanhuri Husin serta  bekas Koperal Yaacob Hasan dalam Berita Harian dan Utusan Malaysia telah mengambarkan betapa marah dan geramnya bekas-bekas tentera ini terhadap kenyataan Mat Sabu. Mereka mencabar Mat Sabu untuk bertemu mereka dan menceritakan ketidakpuasan hati beliau terhadap pasukan keselamatan negara hingga sanggup mengangkat komunis sebagai wira. berita lanjut


Bekas anggota PPH 1/72 RASCOM, Sarawak pulak menghantar surat terbuka kepada Mat Sabu menceritakan pengalaman bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH)  1/72 yang berkhidmat di Sarawak sejak tahun 1972 hingga 1981. Mereka menyoal Mat Sabu bagaimanakah sekiranya di antara yang terkorban itu adalah adik beradik Mat Sabu, adakah beliau mengizinkannya. Mereka juga tidak meminta Mat Sabu untuk melawat ke pusara atau mengalung bunga atau melawat mereka yang masih hidup. Tetapi tidak perlu la memperlekeh dan memperlecehkan mereka yang terkorban dengan darah dan nyawa. berita lanjut


Beberapa bekas pengawal kampong atau homeguard kaum cina Daerah Bera, Pahang iaitu Tan Kim Hock, Mohamed Tan Abdullah dan Koe Tan turut mengecam Mat Sabu kerana menjulang komunis dalam tragedi Bukit Kepong. Mereka menyifatkan bahawa hanya mereka yang gila dan hilang akal sahaja akan menyokong komunis. Mereka berharap pemimpin pembangkang tidak bermain politik dengan menjual bangsa dan negara. Tan Kim Hock  berkata, “Jagalah negara ini, sokonglah kerajaan sedia ada, banyak faedah sudah kita dapat setelah merdeka 54 tahun lalu”. berita lanjut



Dalam akhbar Sinar Harian, anak mangsa tragedi Bukit Kepung, Azlas Jaafar menegaskan beliau enggan berjumpa Mat Sabu.  Beliau sangat sedih dan tidak sangka sama sekali Mat Sabu sanggup akan mengangkat komunis sebagai hero. Beliau berkata “Saya tak akan maafkan dia. Jangan datang jumpa kami di sini, kami tidak mahu dan saya benci dia. Dia sepatutnya dikenakan hukuman. Sebenarnya dialah penderhaka dan pengkhianat negara.”

Mat Sabu dan pemimpin-pemimpin PKR yang menyokong kenyataan Mat Sabu ini perlu segera meminta maaf kepada pejuang-pejuang negara dan saudara mara kepada mereka yang terkorban dalam menjaga keselamatan negara. Mereka perlu memohon maaf kepada balu-balu anggota keselamatan yang terkorban semasa tragedi Bukit Kepong.


Monday, 5 September 2011

“JUMPA SAYA DAPATKAN BAHAN SEJARAH” – Prof Emeritus Khoo Kay Kim


Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim mempelawa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berjumpa dengannya untuk mendapatkan bahan sejarah berhubung peristiwa Bukit Kepong.

Kay Kim berkata, ia bagi mengelakkan Mat Sabu daripada terus mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan terpesong daripada fakta sebenar.

Beliau juga meminta Mat Sabu supaya melakukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum memperkatakan perkara berkaitan sejarah.

Mat Sabu boleh tanya saya di mana boleh dapat bahan sejarah. Saya tahu mana tempatnya"

Mat Sabu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak apabila menyifatkan pengganas dalam Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 sebagai hero sebenar dan bukannya anggota polis yang terkorban dalam peristiwa itu.


Menyingkap sejarah penubuhan PKM, Kay Kim berkata, ia diasaskan di Kuala Pilah pada 1930-an dengan alasan memperjuangkan sebuah negara bebas, namun hasrat sebenarnya adalah membentuk sebuah ‘order’ baru komunis di negara ini.

“PKM juga sanggup bernaung di bawah pemerintahan Rusia sekiranya mereka berjaya menjatuhkan kerajaan British. Maka, perjuangan mereka tidak boleh dianggap sebagai nasionalis dan mereka bukan pejuang sebenar negara"

Dalam pada itu, Kay Kim berkata, beliau mempunyai beberapa persoalan yang ingin ditujukan kepada Mat Sabu dan berharap pemimpin nombor dua Pas itu dapat menjawabnya.

“Antara persoalan saya ialah apakah perjuangan parti komunis antarabangsa? Apakah perjuangan sebenar PKM di negara ini? Minta dia jawab"

Dalam pada itu, beliau berkata, sebenarnya ramai orang Cina yang menentang komunis terutama di Karak kerana mereka benci terhadap perjuangan komunis yang dianggap keji dan tidak berperikemanusiaan.

Pandangan beliau turut dikongsi oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian yang menyifatkan Mat Sabu sebagai buta sejarah.

Beliau berkata, sejarah telah membuktikan siapa sebenarnya pejuang serta wira negara, oleh itu pemimpin Pas itu diminta supaya berhati-hati ketika mengungkit peristiwa Bukit Kepong.

“Bukan sahaja pejuang-pejuang Melayu yang terkorban dalam peristiwa itu, malah mereka yang berketurunan Cina dan India turut menjadi mangsa kejadian. Kita tidak boleh mempertikai sumbangan kaum-kaum lain (Cina dan India) ketika menentang fahaman (komunis) yang tidak boleh diterima sama sekali. Kenyataan beliau bukan saja menimbulkan kemarahan orang Melayu, malah orang Cina dan India juga,” katanya


*** Sila layari kandungan penuh temubual bersama Prof Khoo Kay Kim di SINI

Monday, 29 August 2011

PW I (B) KANANG ANAK LANGKAU BERANG DENGAN KENYATAAN MAT SABU

Awas kau Mat Sabu!!!

Ketika bersama lebih 30 anggota Platun Gempur Batalion Kelapan, Rejimen Renjer Diraja (RRD) bertempur dengan segerombolan pengganas komunis di Perak tahun 1980, Kanang anak Langkau ditembak tiga kali berturut-turut oleh pihak musuh. Sebutir peluru dari arah belakang singgah ke jantungnya sebelum menembusi dadanya. Beberapa saat kemudian, dua lagi tembakan dari depan dengan setiap sebutir peluru mengenai saluran kencing dan merosakkan buah pinggang kirinya. Kanang yang berlumuran darah dan tidak bermaya waktu itu, sementara menanti bantuan tiba, cekal menggagahkan dirinya memapah seorang anggota bawahannya dari menjadi mangsa tembakan menggila komunis. Akibat tembakan itu beliau terpaksa dirawat selama setahun.

Beliau turut menerima pengurniaan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) atas kehebatan dan keberaniannya menembak mati lima pengganas komunis di Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput, Perak.


Pegawai Waran I (B) Temenggong Kanang Langkau tidak dapat mengawal kemarahannya dan menegaskan bahawa Mat Sabu tidak layak menjadi rakyat Malaysia. Beliau menegaskan bahawa:

“Orang ini langsung tidak berguna, beginikah sikap bekas wakil rakyat? Kirim salam pada dia dan beritahu kalau mahu sokong komunis tidak perlulah lagi bertanding dalam pilihan raya. Dia simpati dengan komunis, maknanya dia juga komunis, selayaknya dibuang daerah. Saya terima kewujudan pembangkang dengan hati terbuka tetapi ini bukan cara berpolitik yang betul sampai sanggup jatuhkan moral rakyat, kalau rakyat tidak sedar saya tidak tahulah. Pastinya orang ini tidak pernah merasa bagaimanakah perasaan apabila parang diletakkan pada tengkuk mereka. Kenyataan Mat Sabu itu turut menghina perajurit dan keluarga perajurit yang terkorban semasa menentang komunis...”

Sunday, 28 August 2011

KOMUNIS HERO SEBENAR BUKIT KEPONG : MAT SABU HINA PEJUANG KITA!

"Astaghfirullahal 'Azim.." Beristighfar sekejap saya selepas membaca laporan akhbar pada hari ini. "Mengapa masih ada segelintir pihak seolah-olah buta sejarah dan  beranggapan bahawa anggota komunis adalah pejuang kemerdekaan sebenar?" Kita pernah dikejutkan dengan kenyataan perwakilan PAS dari Batu, Zabur Nawawi yang pernah menggesa agar melayu-melayu ‘komunis’ harus dipertimbangkan sebagai pejuang kerana mereka juga berjuang untuk kemerdekaan negara.... "mereka bukan komunis. Mereka hanya bekerjasama dengan bintang tiga (Parti Komunis Malaya). Saya tidak menolak kerajaan Britain dan perikatan ketika itu mengeksploitasikan kumpulan Melayu ini dan melabelkan mereka sebagai komunis" katanya...

Kini, Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu pula telah mencetuskan kontroversi baru apabila mendakwa bahawa pengganas komunis dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar kemerdekaan negara. Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu Mat Sabu turut menegaskan bahawa:

1. Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan.

2. Berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya 

3. Mengajak semua orang Melayu dalam UMNO agar menyertai parti DAP kerana merekalah hero sebenar

4. Mengisytiharkan seorang lelaki Melayu (Muhammad Indera) yang berfahaman Komunis yang turut sama mengepalai gerombolan 200 orang komunis menyerang balai polis Bukit Kepong sebagai HERO sebenar kemerdekaan Tanah Melayu.

Nyata, kenyataan tersebut telah menghina perjuangan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu yang telah berkorban segalanya demi mempertahankan tanah air yang tercinta.

Jelas bahawa Mat Sabu tidak bercakap berlandaskan rasionaliti, buta sejarah, membabi-buta dan benar-benar telah mempamerkan kecetekkan ilmu beliau kerana sejarah membuktikan bahawa mereka (anggota komunis) bertanggungjawab di atas pembunuhan kejam rakyat sepanjang darurat selama 12 tahun iaitu dari 1948 hingga 1960. Menurut Prof Gordon P. Means (Universiti McMaster), kekejaman komunis di Malaysia telah mengorbankan sebanyak 11,609 orang termasuk 1,345 anggota keselamatan dan 2,473 orang awam. Angka ini tidak termasuk mereka yang cedera dan derita sepanjang hayat akibat kekejaman komunis

Parti Komunis Malaya (PKM) untuk makluman pambaca-pembaca sekalian, juga tidak pernah menyokong kemerdekaan Malaysia dan menentang Perlembagaan Negara yang memperuntukkan hak serta peruntukan tertentu bagi memberi keadilan dan kesaksamaan kepada kaum pribumi di Malaysia. PKM juga ternyata angkuh dan menunjukkan kekuatan senjata serta ideloginya bilamana menolak dua kali tawaran kerajaan untuk mereka menyerah diri iaitu semasa Rundingan Baling 1955 dan semasa Negara ini mencapai kemerdekaan. Manakala semasa perjanjian damai di Hadyai, Thailand pada 1 Disember 2009, pihak PKM masih tegas enggan membubarkan parti serta ideologi komunis mereka justeru membuktikan bahawa PKM menolak semangat patriotik dan enggan untuk taat setia Yang Di Pertuan Agong dan Negara.

Askar Setia berasa hairan. Adakah mereka-mereka ini dikatakan ‘LAYAK UNTUK MENJADI PEMBELA NASIB ANGGOTA TENTERA??? Harus diingat bahawa, kekejaman komunis akan terus terpahat di dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia dan watak pelaku, penyokong dan pendokong kekejaman tersebut tidak kira daripada bangsa apa sekalipun akan terus dibenci dan sama sekali tidak berhak diangkat sebagai pejuang kemerdekaan Malaysia. 

Lihat ambar dan 'layout' serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong di SINI

p/s: Saya bertanyakan kepada ayah saya (orang lama yang pernah terlibat didalam beberapa siri operasi menentang komunis di Grik. Apa komen beliau mengenai kenyataan Mat Sabu tersebut?

 “Mat Sabu tu dah nyanyuk buat statement mcm tu”…ujarnya dengan selamba.