Selamat Datang Ke Laman Blog Askar Setia

Pembaca Tegar

Tuesday, 16 October 2012

RUMAH KELUARGA ANGKATAN TENTERA (RKAT) REPUT - ISU YANG BAKAL DISENSASIKAN TIDAK LAMA LAGI



Pembinaan kemudahan Rumah Keluarga Anggota Tentera (RKAT) oleh Kementerian Pertahanan menelan kos lebih RM3.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM1,464.71 juta daripada peruntukan siling bagi projek tersebut.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, peruntukan siling RMKe-9 bagi 38 projek RKAT ialah sebanyak RM1,742.12 juta. Bagi 12 projek RKAT yang dilawati, kos kontrak asal berjumlah RM1,122.75 juta. Bagaimanapun, kos ini telah meningkat kepada RM1,297.18 juta iaitu peningkatan sebanyak RM174.43 juta, menurut laporan yang diedarkan di Dewan Rakyat.


Jabatan Audit Negara mendapati secara keseluruhannya prestasi pembinaan bagi 12 projek RKAT yang dibina dalam RMKe-9 itu dan pengurusan satu RKAT yang diaudit adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang boleh menjejaskan objektif pembinaannya. Secara keseluruhannya, Kementerian Pertahahan melaksanakan 38 projek RKAT meliputi pembinaan 9,445 unit rumah dan sehingga Disember 2011, sebanyak 37 projek siap manakala satu projek lagi masih belum siap dan telah dikategorikan sebagai:

 "projek sakit"

Laporan audit juga menyatakan bahawa daripada 37 projek yang siap, didapati sembilan projek dibawa ke RMKe-10 sebagai projek sambungan dengan kos berjumlah RM186.30 juta. Ini kerana sembilan projek tersebut mengalami banyak kecacatan dan kerosakan pembinaan serta memerlukan kerja pembaikan.

 

Berdasarkan semakan audit, enam projek RKAT di Lembah Klang yang dibina oleh Syarikat Usahasama SPNB-LTAT Sdn. Bhd. (Syarikat USL) mempunyai bilangan kerosakan dan kecacatan pembinaan yang paling tinggi. Semakan audit mendapati Syarikat USL juga gagal menyelesaikan antara 1,493 hingga 2,085 aduan kerosakan dan kecacatan dalam tempoh atau selepas tamat tempoh tanggungan kecacatan.

Jabatan Audit Negara turut menegur Kementerian Pertahanan di atas kelemahan dalam pengurusan projek RKAT hingga memaksa kerajaan menanggung kos tambahan. Kementerian sepatutnya merampas jaminan bank setelah Syarikat USL gagal menyelesaikan kerja pembaikan sebaik sahaja tamat tempoh tanggungan kecacatan. Kementerian juga tidak sepatutnya mengeluarkan Perakuan Siap Membaiki Kecacatan (CMGD) memandangkan kerja pembaikan yang masih belum selesai dilaksanakan oleh kontraktor.


Sumber: MStar dan Navy The Best

Isu berkaitan kecatatan dan kerosakan yang berlaku dalam kebanyakkan rumah RKAT bukanlah satu perkara baru dan ia sering menjadi 'buah mulut' kebanyakkan pegawai dan anggota ATM. Askar Setia turut pernah beberapa kali mendengar keluhan beberapa pegawai  dan anggota yang tinggal di RKAT KEMENTAH termasuk di Desa Tun Hussein Onn (DTHO) yang telah menyatakan kekesalan mereka kerana tinggal dalam rumah 'seperti tidak siap' ekoran siling yang runtuh, paip bocor yang menyebabkan limpahan najis 'orang atas' dan pelbagai kes lagi sedangkan kuarters berkenaan merupakan kuarters baru!

Pemberian kemudahan kuarters RKAT boleh saya klasifikasikan sebagai 'satu rahmat' kepada pegawai dan anggota ATM namun, pihak KEMENTAH seharusnya memastikan rumah-rumah berkenaan utuh dan selamat untuk didiami. 

Artikel ini bukanlah sengaja dibuat untuk menyalahkan KEMENTAH dan pemaju semata-mata tetapi diharapkan agar langkah-langkah pembaikpulihan dapat dilakukan dengan kadar segera. Isu kediaman dan tempat tinggal adalah perkara pokok untuk sesebuah keluarga dan ia boleh menjejaskan moral dan semangat seseorang anggota/termasuk penjawat awam yang tinggal di kuarters-kuarters berkenaan. Perkara lama ini wajar diberi perhatian sepenuhnya agar kelemahan-kelemahan seperti ini tidak terus menjadi bahan bincangan sesetengah pihak yang hanya akan merugikan dan memburukkan imej KEMENTAH di mata masyarakat.




Monday, 15 October 2012

PASSEX - USS GEORGE WASHINGTON DAN KAPAL PERANG TLDM - TERSIRAT DAN TERSURAT

USS George Washington (CVN 73) dan KD Jebat (FF 29) dan KD Lekiu (FF30)
TLDM mengadakan latihan bersama Tentera Laut Amerika Syarikat iaitu Passage Exercise (PASSEX) bersempena dengan kunjungan tiga buah kapal perang Amerika Syarikat ke Pelabuhan Klang baru-baru ini. Latihan ini dianjurkan bagi mengeratkan hubungan dan juga meningkatkan persefahaman di antara tentera laut kedua-dua negara.

Kapal yang terlibat adalah iaitu KD JEBAT dan KD LEKIU manakala Tentera Laut Amerika Syarikat telah mengaturgerakkan Aircraft Carrier, USS GEORGE WASHINGTON, Destroyer, USS MCCAMPBELL dan Frigate USS VANDERGRIFT.


Latihan dilaksanakan 20 batu nautika barat daya Pulau Pangkor. Pelbagai jenis latihan telah dilaksanakan di antaranya latihan manuvra dan komunikasi yang terdiri daripada kibaran bendera serta pancaran lampu bagi mengoptimumkan peluang yang diperolehi ini. Latihan manuvra bersama kapal pengangkut pesawat USS GEORGE WASHINGTON dan aksi akrobatik yang dipamerkan oleh pesawat Super Lynx serta Sea Hawk yang dimiliki oleh Tentera Laut Amerika Syarikat ternyata pengalaman yang mengujakan bagi kesemua warga kapal yang terlibat.


Eksesais pada kali ini telah berjaya mencapai objektifnya dan membuktikan kemampuan aset TLDM dalam beroperasi bersama aset-aset dari negara maju. Ini membuktikan, bahawa visi TLDM untuk menjadi Tentera Laut bertaraf dunia adalah tidak mustahil untuk dikecapi berdasarkan kemampuan dan kebolehan sedia ada sekarang. Bravo Zulu!!

Sumber: Navy The Best


USS George Washington (CVN 73), KD Jebat FF 29, KD Lekiu (FF 30)
dan USS Vandergrift (FFG 48)

Sebelum ini, banyak desas-desus (hero-hero politik kosong tanah air terutamanya Mat Sabu dan Mahfuz yang melatah tidak tentu pasal) mengkritik kehadiran kapal pengangkut USS George Washington di Malaysia namun jelas hanya untuk memenuhi kepentingan parti politik mereka sahaja.Kritikan tersebut sengaja dibuat untuk mengalihkan pandangan, pendapat umum dan memadamkan ingatan masyarakat terhadap isu tajaan jutaan Dollar USD oleh pihak-pihak tertentu kepada organisasi-organisasi seperti SUARAM dan entiti media yang kononnya bebas seperti Malaysiakini.


Ironinya, apakah mereka ini pendek akal dan tidak tahu mengenai kepelbagaian inisiatif diplomatik ketenteraan yang telah dipraktikkan oleh kebanyakkan negara bedaulat iaitu lawatan serta persinggahan kapal perang ke pelabuhan-pelabuhan negara lain di serata dunia? Sebagai contoh, Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera milik TLDM sendiri  pernah mengadakan pelayaran "Sailing Around The World" ke benua Eropah dan saya difahamkam KLD berkenaan telah singgah ke sebanyak 24 buah pelabuhan! Ada puluhan malah mungkin ratusan lagi inisiatif diplomatik seperti itu telah dibuat oleh TLDM sendiri dan tidak larat rasanya untuk saya ingati tiap satu daripadanya.

Sebagai seorang perokok tegar, inilah 'buah tangan' - Lighter ZIPPO USS George Washington
 yang dapat saya beli sebagai kenangan menaiki kapal induk berkenaan
Walaupun, jika diperhalusi dengan lebih mendalam, lawatan tersebut mungkin membawa mesej bahawa kekuasaan ketenteraan Amerika Syarikat berada di mana jua dan ingin mewujudkan kesan psychological appearance mereka disini dibawah kelolaan pentadbiran US Pacific Command (USPACOM) di Hawaii yang mengkoordinasi aktiviti ketenteraan Amerika Syarikat untuk mempertahankan keselamatan kepentingan negara berkenaan di Asia Pasifik. Walau bagaimanapun, Askar Setia melihat lawatan USS George Wahington ke negara ini sebagai satu langkah positif untuk mengeratkan lagi hubungan diplomatik ketenteraan Kuala Lumpur-Washington. 

Friday, 12 October 2012

PERJUANGAN 120 MINIT ATM BERBALOI - TAHNIAH PASUKAN BOLA SEPAK ATM

EPIK!


Perlawanan diantara pasukan ATM dan Lions XIII yang benar-benar menggentarkan jiwa saya malam tadi. Turun naik darah dibuatnya.Tahniah diucapkan kepada pasukan bola sepak ATM yang telah melakar sejarah baru pasukan bola sepak berkenaan apabila berjaya melangkah Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Malaysia tahun ini. 

Pasukan ATM telah berjaya menewaskan pasukan Lions XIII di dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Selayang, Selangor. 


 Penantian dari tahun 1966 kini telah berakhir! 

Para pemain ATM telah mempamerkan tahap kecekalan dan ketabahan yang amat tinggi dan berhak mendapat pujian. Manakan tidak, ATM terus mengasak sehingga ke saat terakhir meskipun Lions XIII dijangka akan memenangi perlawanan berkenaan. 


Jaringan saat terakhir oleh Marlon Alex James telah meruntuhkan harapan penyokong negara jiran yang jelas ‘melopong’ dan kecewa kerana tidak menyangka Marlon mampu menanduk tepat ke arah gawang gol pasukan pelawat berkenaan. 

Bermain dan berhempas pulas selama 120 minit bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan tahap kecergasan, stamina dan kekuatan mental yang optimum. Namun, pasukan ATM terus berjuang sehingga mengheret perlawanan berkenaan ke penentuan sepakan penalti. Perlawanan akhir Piala Malaysia pada 20hb Oktober ini akan menyaksikan pasukan ATM akan berhadapan samada Kelantan atau Selangor yang akan beraksi Stadium Shah Alam malam ini.

TAHNIAH ATM

Monday, 8 October 2012

SELAMAT PULANG HERO SEMPORNA - TAHNIAH LK I PPP (PKL) ESTINO TANIYU



Perenang solo Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M), Estino Taniyu, yang berjaya merentasi Selat Inggeris pada 21 September lalu, disambut sebagai wira oleh warga Semporna. Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 24 tahun itu menerima sambutan meriah daripada lebih 2,000 penduduk Semporna yang berkumpul di Kampung Bangau-Bangau, tempat kelahiran Estino.


Turut menyambut kepulangan Estino, yang mencipta rekod dengan renangan selama 13 jam 45 minit dan 45 saat, ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 



Estino menamatkan renangan solo anjuran Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia di Sandy Beach, Calaif, Perancis pada jam 10.20 malam (waktu Malaysia) selepas bermula di Dover Beach, United Kingdom pada 8.41 pagi (waktu Malaysia).  Shafie, menganggap Estino sebagai wira dan kejayaan beliau mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya menawan Selat Inggeris merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja kepada warga Semporna malah rakyat Sabah dan Malaysia, secara keseluruhan. 

"Ini satu catatan rekod yang amat memberangsangkan dan mengharumkan nama baik negara kita dan masyarakat Kampung Bangau-Bangau, Semporna ini. Saya penuh yakin, ini akan menjadi pembakar semangat kepada anak-anak untuk tampil berbakti mengharumkan nama bangsa.  "Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada Estino, anak kampung yang dalam usia muda, 24 tahun berjaya mengharumkan nama baik negara kita. Ini adalah dorongan dan galakan yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku penaung Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia,"


Kejayaan Pandelela Renong meraih pingat gangsa di pentas Olimpik dan yang terbaru, oleh Estino, merupakan manifestasi kemampuan penduduk luar bandar mencapai kejayaan di pentas dunia, jika diberi peluang.  Estino begitu teruja dengan sambutan besar-besaran yang diberikan penduduk Semporna serta Shafie, dan berterima kasih kerana beliau sendiri tidak pernah menerima sambutan sebegitu rupa sebelum ini. 


Mengulas cabaran ketika berenang merentasi Selat Inggeris, Estino berkata, selain suhu air yang sejuk, arus laut serta kapal dagang yang lalu-lalang adalah rintangan yang perlu diatasi.  Bagaimanapun, katanya, dengan latihan mental dan fizikal mental, pengalaman sebagai anak kampung merangkap anak nelayan selain sokongan rakan sepasukan serta Angkatan Tentera Malaysia, beliau berjaya menamatkan renangannya dengan catatan masa yang baik.


TAHNIAH ESTINO!