Selamat Datang Ke Laman Blog Askar Setia

Pembaca Tegar

Monday, 8 October 2012

SELAMAT PULANG HERO SEMPORNA - TAHNIAH LK I PPP (PKL) ESTINO TANIYU



Perenang solo Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M), Estino Taniyu, yang berjaya merentasi Selat Inggeris pada 21 September lalu, disambut sebagai wira oleh warga Semporna. Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 24 tahun itu menerima sambutan meriah daripada lebih 2,000 penduduk Semporna yang berkumpul di Kampung Bangau-Bangau, tempat kelahiran Estino.


Turut menyambut kepulangan Estino, yang mencipta rekod dengan renangan selama 13 jam 45 minit dan 45 saat, ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 



Estino menamatkan renangan solo anjuran Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia di Sandy Beach, Calaif, Perancis pada jam 10.20 malam (waktu Malaysia) selepas bermula di Dover Beach, United Kingdom pada 8.41 pagi (waktu Malaysia).  Shafie, menganggap Estino sebagai wira dan kejayaan beliau mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya menawan Selat Inggeris merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja kepada warga Semporna malah rakyat Sabah dan Malaysia, secara keseluruhan. 

"Ini satu catatan rekod yang amat memberangsangkan dan mengharumkan nama baik negara kita dan masyarakat Kampung Bangau-Bangau, Semporna ini. Saya penuh yakin, ini akan menjadi pembakar semangat kepada anak-anak untuk tampil berbakti mengharumkan nama bangsa.  "Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada Estino, anak kampung yang dalam usia muda, 24 tahun berjaya mengharumkan nama baik negara kita. Ini adalah dorongan dan galakan yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku penaung Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia,"


Kejayaan Pandelela Renong meraih pingat gangsa di pentas Olimpik dan yang terbaru, oleh Estino, merupakan manifestasi kemampuan penduduk luar bandar mencapai kejayaan di pentas dunia, jika diberi peluang.  Estino begitu teruja dengan sambutan besar-besaran yang diberikan penduduk Semporna serta Shafie, dan berterima kasih kerana beliau sendiri tidak pernah menerima sambutan sebegitu rupa sebelum ini. 


Mengulas cabaran ketika berenang merentasi Selat Inggeris, Estino berkata, selain suhu air yang sejuk, arus laut serta kapal dagang yang lalu-lalang adalah rintangan yang perlu diatasi.  Bagaimanapun, katanya, dengan latihan mental dan fizikal mental, pengalaman sebagai anak kampung merangkap anak nelayan selain sokongan rakan sepasukan serta Angkatan Tentera Malaysia, beliau berjaya menamatkan renangannya dengan catatan masa yang baik.


TAHNIAH ESTINO!

Monday, 1 October 2012

PENGUMUMAN BAJET 2013 - HONORING ALL WHO SERVED!



Seramai 125,708 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima bayaran insentif khas RM200 sebulan, berkuat kuasa 1 Januari depan. Insentif khas itu membabitkan peruntukan RM301 juta. Bagi menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera pula, elaun khidmat bertugas anggota biasa dinaikkan RM2 kepada RM6 sejam, manakala elaun pegawai dinaikkan kepada RM7.80 sejam berbanding kadar elaun lama, RM5.80 sejam.  

YA! Pelbagai insentif yang diberikan kepada pegawai, anggota serta pesara tentera dalam Bajet 2013 adalah simbol pengiktirafan kerajaan terhadap jasa dan sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dalam pada masa kita dihujani dengan pelbagai tohmahan, pujukan, janji-janji bulan dan bintang oleh sesetengah pihak yang hanya tahu berjanji, Bajet 2013 telah membuktikan bahawa golongan tentera tidak pernah terlepas daripada perhatian kerajaan. 


Kini jelas bahawa penelitian terhadap insentif dan aspek kebajikan anggota ATM sentiasa diberi penekanan secara menyeluruh daripada golongan pegawai dan anggota, tetapi juga kepada pesara tentera. 

Kenaikan Elaun Bertugas. Kenaikan elaun bertugas itu membabitkan 65,000 anggota simpanan ATM merangkumi askar Wataniah dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Sebagai menghargai jasa bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang 21 tahun, kerajaan akan menyumbangkan RM1,000 (one-off) kepada 224,000 pesara tentera ini yang mana peruntukan sebanyak RM224 juta akan dikongsi bersama kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. 

Skim Insurans. Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM12 juta bagi memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat. Skim itu akan memberi had perlindungan maksimum sehingga RM15,000 kepada hampir 242,000 anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat. Syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM pula akan ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi jawatan pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian. 

Kelayakan Minimum SPM. Untuk pengambilan askar askar pula, kelayakan minimum ditingkatkan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Diploma berdasarkan skop tugas. Kerajaan turut bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah time-based, anggota prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh lapan tahun perkhidmatan dengan memenuhi syarat serta prestasi memuaskan. Usaha itu akan memberi faedah kepada 78,123 anggota membabitkan peruntukan sebanyak RM107 juta.


Askar Setia juga amat bersetuju langkah kerajaan mengumumkan beberapa syarat kemasukan ke skim perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (seperti diatas) yang ditambah baik mampu mempercepatkan lagi proses penyediaan modal insan anggota yang berpengetahuan serta bertaraf dunia. Pemberian pelbagai insentif termasuk peluang kenaikan pangkat melalui kaedah time-based akan mempercepatkan lagi proses melahirkan anggota bersenjata yang bermoral tinggi.

Selain daripada itu, penambah baik kelayakan masuk bagi jawatan pegawai kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian mampu menyediakan modal insan berpengetahuan tinggi. Askar Setia turut mengharapkan agar pengumuman Bajet 2013 akan dapat menaikkan serta mengukuhkah moral semua anggota untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi.



HONORING ALL WHO SERVED!