Wednesday, 3 April 2013

OP DAULAT - DARI PERSPEKTIF BEKAS PANGLIMA MEDAN TENTERA DARAT


Zaini Mohd Said

SEBAGAI bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said merupakan orang yang arif mengenai selok-belok cara peperangan di negara dan terlibat dengan operasi Al Maunah pada tahun 2000 di Sauk, Perak.

Dalam konteks pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, pelbagai pihak mempersoalkan siapakah yang patut dipersalahkan dan bagaimana insiden ini boleh terjadi. Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, NORSHAHZURA MAT ZUKI dan SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR serta jurugambar ROSLI TALIB dengan beliau berhubung isu ini.

Apa komen Datuk dalam isu Lahad Datu?

Lahad Datu terlalu dekat dengan persempadanan dan perairan kepulauan selatan Filipina. Kawasan itu mempunyai penempatan ramai orang yang berketurunan Suluk dan yang berasal dari sana. Ada yang sudah menjadi rakyat Malaysia dan ramai juga yang masuk dan tinggal secara haram. Nyata pihak Jamalul Kiram terdorong, terdesak dan berkeputusan untuk menyampaikan mesej tuntutan terhadap Sabah bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kepada kerajaan Filipina, MILF dan badan dunia lain. Untuk mendapat impak dan perhatian maka mereka melakukan tuntutan ini dengan menceroboh masuk ke Sabah dan mengancam serta telah mengguna  kekerasan apabila kehendak mereka tidak dilayani.  

Bagaimana Datuk melihat isu ini boleh berlaku sebenarnya?

Berkemungkinan besar juga bahawa mereka dapat berbuat demikian dengan dibiayai operasi itu oleh pihak yang berkepentingan, kerana perbelanjaannya mesti besar sedangkan Jamalul Kiram tidak berkemampuan untuk berbuat demikian. Objektif operasi itu bermatlamat politik dan mungkin juga hendak memeras ugut kewangan yang besar dari Sabah atau kerajaan Malaysia. Sudah tentu mereka tahu bahawa objektif ketenteraan  untuk menawan Sabah mustahil tercapai dengan kekuatan yang mereka ada.

Saya berpendapat bahawa tindakan keganasan/militan mereka hanyalah untuk mendapatkan objektif politik dan peras ugut yang dikatakan tadi. Saya tidak pasti jika ada kecuaian pihak sendiri kerana tidak mengetahui situasi sebenar dan sepenuhnya di sana. Saya hanya berani mengatakan bahawa tersangat sukar menutup keseluruhan kawasan persisiran pantai Timur Sabah seratus peratus. Keadaan di persempadanan AS dengan Mexico pun sebegitu dan mudah dibolosi juga!


Adakah pencerobohan ini dapat dihidu awal atau inisiatif penduduk setempat yang melaporkan apa yang berlaku? 

Saya difahami begitulah. Jika ia dihidu terlebih dahulu oleh penduduk awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak berkuasa, maka sistem kita berfungsi kerana rakyat yang setia dan yang bertanggungjawab juga merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan dan keselamatan semua negara dan kita juga. 

Apa raksi Datuk mengenai operasi anggota kita dalam mengawal situasi di sana?

Insiden dan aktiviti kumpulan pengganas ini telah dapat dikekang dan dihadkan di kawasan yang berkenaan sahaja. Mereka juga telah dapat dibunuh atau ditangkap, dan ancaman dari mereka tidak merebak keluar. Ini menunjukkan bahawa operasi kita itu berjaya. Kita juga dapat mengeluarkan penduduk awam tempatan ke tempat selamat dari terus menjadi mangsa pengganas. Rakyat juga didapati memberi kerjasama dan membantu pasukan keselamatan kita.


Apakah hukuman yang setimpal perlu dikenakan kepada pengganas Kiram ini?

Setahu saya, jika terbukti mereka berniat dan bertindak melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, maka hukumannya berat dan boleh sampai ke hukuman mati mandatori. Jika kesalahannya menceroboh dan membawa senjata api maka hukumannya juga berat.

Adakah taktik anggota kita laksanakan sekarang ini paling berkesan?

Strategi dan taktik bergantung kepada situasi yang dihadapi. Hanya mereka yang mempunyai pengetahuan cukup berkenaan situasi yang dihadapi dapat merumuskan strategi dan taktik yang tepat. Saya tidak tahu hendak menyatakan jika apa yang dilakukan pasukan keselamatan di Lahad Datu yang terbaik. Namun, berpandukan hasil jumlah musuh yang dibunuh dan ditangkap dan jumlah orang tempatan yang dapat diselamatkan membayangkan bahawa strategi dan taktik berkesan.

Sejauh mana kesukaran kita untuk lawan taktik perang gerila yang pengganas lancarkan?

Satu peperangan yang sukar ditangani. Mereka juga sukar untuk dicari  kerana mereka lebih banyak bersembunyi dan mengelak dari bertempur. Mereka menyerang mengguna taktik serang hendap atau pukul curi dan sabotaj  di tempat dan pada masa yang kita tidak jangka dan apabila sesuai buat mereka. Kadang-kadang mereka menyamar sebagai orang awam. Kadang-kadang mereka memaksa orang awam membantu mereka atau menghasut mereka untuk menentang kerajaan dan pasukan keselamatan. Walau bagaimanapun kita mempunyai pengalaman yang luas melawani kumpulan dan taktik perang gerila. Oleh itu saya yakin kita akan dapat mengalahkan mereka akhirnya!


Ada pihak mengatakan tentera lambat membantu polis dari awal kes ini berlaku, apa pandangan Datuk? 

Saya berpendapat bahawa tentera tidaklah lambat memberi bantuan. Sebenarnya mereka akhirnya berbuat demikian pada masa, di tempat yang wajar dan dengan kekuatan yang diperlukan. Ketiga-tiga faktor ini mesti betul. Sebagai contoh, jika masa dan tempatnya betul tetapi kekuatan untuk menyerang tidak mencukupi maka keseluruhan operasi akan salah juga. Itu sudah menjadi satu kesilapan dan di dalam peperangan kita tidak boleh membuat kesilapan kerana akan menyebabkan kehilangan banyak nyawa pihak sendiri. Seterusnya umum mesti mengetahui bahawa untuk mencari maklumat perisikan  dan kemudian mengumpulkan kekuatan untuk bertempur juga memakan masa. Dan lagi, apa-apa keputusan yang dibuat mesti juga  berpandukan kepada strategi yang telah dipersetujui bersama. 

Pada pemerhatian saya tentera dilibatkan untuk membantu polis pada masa yang sesuai dan diwajarkan. PDRM berterusan mengepalai operasi kerana ianya insiden keselamatan dalam negeri berlandaskan undang-undang yang sedia ada. Selagi undang-undang ini digunapakai  menangani pencerobohan ini maka begitulah hakikatnya. Pengisytiharan zon selamat dan penubuhan Esscom dan undang-undang yang berkait dengannya akan sedikit sebanyak mengubah kedudukan ini.

Pesanan Datuk kepada mereka yang memperlekehkan perjuangan anggota kita di sana.


Mempertahankan negara dan tanah air adalah satu tanggungjawab yang mulia dan memerlukan pengorbanan yang tinggi. Melawani musuh adalah juga tugas yang perit lagi merbahaya dan anggota kita boleh hilang nyawa dan mengalami kecederaan fizikal dan mental yang teruk. Ianya memerlukan azam, keyakinan, keberanian dan kerelaan yang kuat di hati dan jiwa pejuang untuk berkorban. Jadi janganlah dilemahkan dan dirosakkan semangat mereka ini kerana di situlah terletak sebahagian besar kekuatan anggota dan angkatan kita. Di dalam peperangan, salah satu usaha yang utama adalah untuk mematahkan semangat juang pihak kita. Jadi jika kita memperlekeh perjuangan anggota kita, kita sebenarnya mematahkan semangat ini yang hanya dilakukan  oleh musuh. Pesanan saya, berhentikan serta merta dan jangan jadi pengkhianat negara! 

Adakah mereka yang memperlekeh anggota kita ini orang yang tidak faham erti semangat patriotisme? 

Bukan sahaja tidak memahami erti patriotisme tetapi jelas mereka tidak patriotik, tidak menyayangi negara dan tanah air sendiri! Malahan mereka sanggup melemahkan kekuatan dan keselamatan Negara, rakyat dan juga diri mereka sendiri!

Apakah pesanan Datuk kepada anggota keselamatan yang berjuang menentang pengganas.

Seluruh rakyat yang setia berdiri teguh menyokong perjuangan saudara-saudara semua dan akan membantu dengan segala yang mampu. Diketahui bahawa kerajaan juga telah memberi komitmen berterusan menyalurkan segala keperluan yang wajar untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Fokus kepada pelaksanaan tugas dan tanggungjawab ini, bersatu padu, dan lakukan segalanya dengan bijak dan berani seperti yang telah dilatih kepada saudara semua sebelum ini. Kita adalah salah satu angkatan tentera dan polis yang terhebat di rantau jika tidak di dunia ini. Kita mesti menghancurkan musuh durjana ini.

Komen Datuk mengenai Esscom yang PM umumkan baru-baru ini.

Satu pendekatan yang perlu dan bijak. Ia dapat membolehkan kerajaan melaksana konsep melawan insurgensi iaitu KESBAN (keselamatan dan pembangunan) yang fokus lagi teratur. Ini bererti bahawa pulangannya bukan hanya keselamatan buat rakyat tetapi dalam masa yang sama pembangunan kawasan yang lebih pesat. Caranya dipercayai akan berpandukan kepada pengalaman Rascom (Rajang Area Security Commad) dan ianya akan merangkumi pendekatan dan cara yang lebih berkesan setelah diperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang diperoleh dari pengalaman masa dahulu!

Pada pendapat Datuk bilakah isu ini akan dapat diselesaikan?

Jangka masanya sukar untuk di ramal. Tetapi ia hanya akan selesai setelah pihak kesultanan Sulu, MNLF, kerajaan Filipina dan pihak lain yang berkepentingan menggugurkan sepenuhnya segala niat dan usaha untuk  menuntut Sabah sebagai hak mereka. Walaupun asas tuntutan mereka ini adalah lemah dan tidak munasabah, namun selagi mereka berniat dan bertindak agresif meneruskannya, maka selama itulah kita akan berhadapan situasi yang serius ini. 

Kenangan menjadi pegawai tentera?

Manis
 
Memerintah platun dalam Batalion Ke7, Rej Askar Melayu DiRaja. Manis dan mencabar berkhidmat sebagai anggota bere hijau, Rejimen Gerak Khas bermula dari 1967 hingga hampir 30 tahun.

Berkhidmat di barisan hadapan menghadapi Tentera Indonesia di Pulau Sebatik, Sabah 1966.

Menangani dan bersama PDRM menumpaskan kumpulan Al Maunah di Bt Jenalik.

Pahit
 
Terpaksa kerap meninggalkan keluarga apabila kerap menjalani operasi.
Sukar berhadapan keluarga anggota tentera yang terkorban akibat tindakan musuh dan operasi.

3 comments:

  1. Pahit

    Terpaksa kerap meninggalkan keluarga apabila kerap menjalani operasi.
    Sukar berhadapan keluarga anggota tentera yang terkorban akibat tindakan musuh dan operasi.


    saya:sanngat memberi impak dalam hati sanubari saya...

    ReplyDelete
  2. This is the real Officer and Gentleman.

    ReplyDelete
  3. This is the real Officer and Gentleman

    ReplyDelete